Hidup & Mati hanya kerana Allah...



Tiada siapa menyangka akan kehadiran sebutir permata ke dunia. Sebutir permata yang disangka pasir dahulunya. Kehadirannya ke dunia disangkal dan dinafikan. Kewujudannya tiada kepastiaan.

Yang pastinya 'hidup dan mati hanya kerana Allah'. Hidup dan mati hanya Allah yang mengetahuinya. Perjalanan hidup manusia telah ditentukanNya.

Disaat menerima berita gembira adikku mengandung lagi, aku seakan- akan mencemburuinya. Diriku masih belum bersedia untuk satu lagi kelahiran. Aku sering mengalami kesakitan di seluruh tubuhku.

"Takpe la, dah rezeki dia. Kalau ada rezekiku nanti adalah." Aku cuma berharap suamiku redha dan menerima keadaan diriku ini.

Hampir setiap minggu Ida adikku yang seorang ni bersiar dan makan angin. Tidak kira kemana sahaja. Kadang kala ke Tesco, Taiping dan mana sahaja yang terlintas.

Aku pula, asyik menanggung kesakitan. Kadang kala sakit badan dan selalunya mengalami gastrik. Seleraku hilang entah kemana. Cuti rehatku pula habis akibat kesakitan yang ku alami ini.

Tiba- tiba setelah beberapa bulan Ida mengandung, dia mula merasa sakit badan dan mengalami alahan gatal- gatal badan dan kurang selera makan. "Biasalah orang mengandung", detik hatiku.

Aku mula berasa risau dengan keadaan adikku ini kerana hampir setiap hari Ida akan mengalami kesakitan. Ida tidak akan keluar rumah lama- lama lagi kerana kesakitan yang dialaminya itu.

Ida selalu akan membuat pemeriksaan doktor samada di Klinik Kesihatan ataupun dengan doktor kesayangannya, Doktor Ranjoth Singh. Setiap kali pemeriksaan tiada komplikasi atau masalah yang timbul. Anak dan Ibu sihat seperti biasa cuma Ida sahaja akan kerap mengalami 'alahan'.

Entahlah, apalah nasib adikku ini. Hanya berserah pada Yang Esa kerana semua ini adalah ujian dan dugaanNya untuk menduga keimanan dan kesabaran umatNya.

Kata orang, talian yang kuat akan membuat seseorang itu lebih peka akan musibah atau perkara yang berlaku kepada orang yang ada pertalian itu. Misalnya ibu akan boleh berasa risau jika anaknya berasa risau juga. Kadang kala itulah yang aku rasai. Jika Ida merasa sakit aku juga akan merasa sakit yang sama walaupun tidak sesakit Ida. Pernah seketika mata kiri Ida naik ketumbik. Seminggu kemudian mata kiriku juga naik ketumbik. Kebetulan ataupun tidak, hanya Allah Maha Mengetahuinya.

Tiba- tiba tanpa menduga, Ida semakin jarang keluar rumah. Hinggalah pada trimester ketiga masuk bulan ketujuh Ida mengandung, dia mula mengelak bila diajak keluar. Rupa- rupanya Ida risaukan kandungannya. Pada hujung minggu tersebut, dia berjumpa dengan Doktor Ranjoth Singh untuk pemeriksaan biasa. Tetapi terdapat kelainan pada wajah dan cara percakapan doktor tersebut. Seolah- olah merahsiakan sesuatu. Doktor Ranjoth kemudiannya menulis surat 'refer' ke hospital kerajaan untuk imbasan 4D dengan bantuan seorang rakannya iaitu Doktor Japharash.

Inilah yang merisaukan Ida. Dia tidak dimaklumkan kenapa, tetapi melalui imbasan yang dilakukan Doktor Ranjoth tadi, Ida seperti dapat melihat sesuatu yang berbeza di skrin tetapi tidak berani untuk memikirkannya. Ida hanya mampu berdoa dan menunggu apa sahaja keputusan pada hari Isnin kelak.

Ketika tiba hari yang dinantikan, Ida seolah- olah tidak dapat menerima hakikat bahawa anak yang dikandungnya mengalami pelbagai masalah seperti masalah sumbing, jantung, buah pinggang dan kedua- dua kakinya tidak seperti kanak- kanak normal.

"Ya Allah, apakah maksud dugaanMu ini. Adakah ini satu dugaan Ya Allah". Maha Besar ujian Mu kali ini. Adakah ini ujian untuk Ida? Tidak dan bukan. Semua ini harus ditanggung tuan punya jiwa dan tubuh. Kerana dugaan ini yang pasti hanya untuk insan kerdil teristimewa di dalam perut adikku. Apa yang pasti semua yang berada di kelilingnya harus malu dengan insan kerdil ini, kerana kandungan ini dilahirkan kuat, tabah, dan berani.

"Puan bersabar ye, baby mungkin tak boleh survive. Peluang yang ada pun cuma 30% sahaja", itulah yang sering diungkapkan oleh semua doktor. Tapi apabila Ida menceritakannya, walaupun mulutku membisu seribu bahasa, tetapi hatiku sering menafikannya. Aku seolah- olah dapat melihat Syahmi membesar sihat dan kuat. Hatiku sering berdetik yang Syahmi akan survive ketika kelahirannya. Aku semakin dekat dengan insan kerdil itu.

Ketika tiba saat- saat kelahirannya, Ida kulihat seperti tiada semangat. Hatinya luntur dan luruh. Air matanya sering bergenangan. Itu sahaja penemannya ketika perasaannya bercampur baur dengan takut, sedih, risau dan bermacam lagi perasaan yang lain. Ida ditakdirkan untuk menerima suntikan 'induse' untuk kelahiran normal. Tetapi setelah dua hari bermatian untuk melahirkan dengan kuasa Allah, Ida dibedah kerana jalannya hanya terbuka 7cm sahaja. Itulah rezeki yang harus kita terima dan redha kerana di setiap kejadian ada hikmahnya.

Pada tengah malam 5 Oktober 2011, maka lahirlah seorang insan teristimewa bernama Syed Danial Syahmi yang bakal menggoncang dunia, membuka mata ribuan insan yang lemah dan memberi harapan kepada jutaan yang memerlukan.

Walaupun pada awalnya dia kelihatan lemah dan perlu dimasukkan ke wad NICU, Syahmi semakin kuat untuk hidup. Dari wad NICU dia dipindahkan ke wad HDU dan kemudiannya dipindahkan pula ke wad kanak- kanak.

Alhamdulillah dia semakin sihat dan kuat. Semua komplikasi yang dialaminya adalah benar tetapi dek kerana keberanian yang ditonjolkan semua itu bakal berubah. Dia akan menjalani pembedahan membetulkan sumbing pada usianya 3 bulan, pembedahan jantung berlubang apabila pada usia mungkin 4 bulan ke atas dan ajaibnya buah pinggang yang dikatakan hanya ada satu, sebenarnya lengkap sepasang dan berfungsi dan kakinya bukanlah satu masalah besar untuk dia hidup di dunia yang mencabar ini.

Syahmi yang pastinya, Acik Ina amat menyayangimu. Kuatlah sayang, membesarlah seperti kanak- kanak lain. ACik Ina akan sentiasa ada ketika kamu memerlukan segalanya.

Ketika ini, Acik Ina mendapat berita yang Syahmi kan mengikut ibu berpantang di rumah Mak long Hanom di Melaka. Acik Ina akan sentiasa merindui tangisan dan pandangan matamu. Jangan nakal- nakal ye. Jaga ibu tau coz ibu Syahmi tu tak sekuat Syahmi.

Acik akan sentiasa doakan kesejahteraan Syahmi di dunia dan akhirat. Ameen...



2 comments:

  1. Anugerah teristimewa.. Selamat datang kedunia syg.. Semoga rahmat Allah sentiasa mengiringi mu.. Dipermudahkan segalanya buat mu.. Amin!!!
  1. salam kenal.. syahmi anak yg istimewa.. semoga syahmi terus kuat berjuang untuk sihat spt kanak2 normal yg lain.. amin..

Post a Comment